Unit Perubatan Sukan

Unit Perubatan Sukan

Pengenalan

Perkhidmatan kepakaran perubatan sukan (Sports Medicine) ini telah dimulakan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sejak dari tahun 2007. Perkhidmatan ini telah mendapat pengiktirafan secara rasmi sebagai satu unit di bawah Jabatan Ortopedik dari pihak pentadbiran Hospital Tuanku Jaafar bermula pada 16 Oktober 2018. Klinik Pakar Perubatan Sukan dikendalikan oleh pakar perubatan sukan yang beroperasi dalam Klinik Ortopedik, Hospital Tuanku Jaafar. Perkhidmatan perubatan sukan atau dikenali juga sebagai perubatan sukan dan senaman (Sports and Exercise Medicine) ditawarkan kepada semua kategori dan lapisan masyarakat. Ia tidak hanya terhad kepada golongan atlet profesional atau kecederaan akibat aktiviti sukan sahaja.

Unit ini merupakan pusat rujukan utama dari seluruh Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan kepakaran perubatan sukan dan senaman. Ia juga adalah salah satu pusat latihan kepakaran perubatan sukan utama yang terawal di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia. Teristimewa, unit ini mempunyai perkhidmatan Gimnasium Perubatan Sukan yang pertama diwujudkan di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia khusus untuk program pemulihan kecederaan sukan, ujian kecergasan fizikal dan preskripsi senaman yang telah beroperasi bermula dari tahun 2016.

Visi

Menjadi pusat perkhidmatan dan latihan kepakaran perubatan sukan yang cemerlang dan terunggul sentiasa relevan dengan keperluan sistem penjagaan kesihatan negara

Misi

  1. Mempertingkatkan dan memperkembangkan skop perkhidmatan perubatan sukan kepada semua kategori masyarakat.

  2. Menyediakan perkhidmatan perubatan sukan yang komprehensif, efisien dan berkualiti tinggi melalui konsep ‘evidence-based medicine’.

  3. Membantu masyarakat mencapai dan mengekalkan tahap kesihatan yang optimum melalui senaman dan aktiviti fizikal.

  4. Membantu meningkatkan prestasi atlet dan mutu sukan negara melalui kepakaran perubatan sukan.

  5. Memberikan latihan dan pembelajaran berterusan untuk mempertingkatkan kepakaran serta kemahiran dalam bidang perubatan sukan di kalangan profesional perubatan.

  6. Menyediakan persekitaran pekerjaan yang kondusif, selesa dan selamat dengan mengamalkan budaya kerja profesionalism, penyayang dan kerja berpasukan.

  7. Menjalankan aktiviti kajian dalam bidang perubatan sukan dan sains sukan serta menggalakkan aktiviti kualiti yang berterusan.

  8. Mempergiatkan kerjasama dan aktiviti kolaberasi dengan pemegang taruh berkaitan perubatan sukan dan sains sukan.

Objektif

  1. Menyediakan perkhidmatan perubatan sukan yang cekap, lengkap dan berkualiti tinggi merangkumi aspek pencegahan, perawatan dan pemulihan kecederaan sukan serta masalah muskuloskeletal lain disebabkan aktiviti fizikal dan kemalangan.

  2. Mengamalkan teknik dan prinsip preskripsi senaman yang betul, selamat dan bersesuaian bagi mendapatkan hasil yang berkesan kepada pesakit.

  3. Menyediakan khidmat konsultasi terhadap isu berkaitan perubatan sukan dan sains sukan.

  4. Mempromosikan senaman dan aktiviti fizikal sebagai kaedah rawatan dan pencegahan penyakit kronik tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

  5. Membantu pihak kementerian mengawal kadar mortaliti dan morbiditi akibat penyakit tidak berjangkit di kalangan masyarakat.

  6. Menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada semua kakitangan agar boleh memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.

  7. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesional perubatan melalui aktiviti pembelajaran yang berterusan dalam bidang kepakaran perubatan sukan dan senaman.

Perkhidmatan

Skop utama perkhidmatan ini meliputi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan kecederaan serta menangani masalah perubatan akibat dari aktiviti sukan dan senaman, aktiviti fizikal lain serta kemalangan. Perkhidmatan yang disediakan adalah seperti berikut:

  1. Klinik Pakar Perubatan Sukan.

    • Diagnosa, rawatan dan pemulihan kecederaan muskuloskeletal akut dan kronik akibat dari aktiviti sukan, senaman, aktiviti fizikal lain dan kemalangan.

    • Rawatan masalah perubatan dan kesihatan berkaitan aktiviti sukan dan senaman contohnya sports concussion, female athlete triad dan lain-lain.

    • Menjalankan pemeriksaan klinikal untuk atlet dan individu yang ingin melakukan aktiviti sukan serta memulakan gayahidup aktif.

    • Khidmat nasihat pelbagai aspek sains sukan termasuk fisiologi senaman, biomekanik, pemakanan sukan, sesuaian fizikal sukan dan psikologi sukan.

  2. Rawatan pesakit dalam wad

    • Program pemulihan fasa awal selepas pembedahan sukan (artroskopi), artroplasti dan prosedur surgeri ortopedik yang lain.

  3. Gimnasium Perubatan Sukan

    • Program pemulihan fasa pertengahan dan fasa akhir untuk kecederaan muskuloskeletal dan selepas pembedahan prosedur ortopedik akibat aktiviti sukan, fizikal dan kemalangan.

    • Preskripsi senaman untuk kes penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes mellitus, hipertensi, penyakit koronari jantung dan lain-lain.

    • Menjalankan ujian kecergasan fizikal untuk menentukan tahap kecergasan invididu termasuk ujian ketahanan kardiovaskular, kekuatan dan ketahanan otot, fleksibiliti sendi dan keseimbangan sendi atau kawalan neuromuskular.

    • Program latihan kecergasan dan sesuaian fizikal untuk peningkatan prestasi fizikal untuk atlet dan individu lain.

  4. Klinik prosedur perubatan sukan

    • Menjalankan prosedur dan intervensi minor perubatan sukan seperti ujian imbasan ultrasound diagnostik, suntikan terapeutik tisu dan sendi dengan panduan ultrasound, ujian analisis komposisi tubuh dan lain-lain.

  5. Liputan perubatan acara sukan

    • Menjalankan liputan perubatan acara sukan sehingga di peringkat sukan profesional dan antarabangsa.

    • Berperanan sebagai doktor pasukan.

    • Doping dalam sukan

  6. Perubatan sukan dalam komuniti

    • Menjalankan aktiviti promosi aktiviti fizikal dalam masyarakat sebagai kaedah rawatan dan pencegahan penyakit kronik seperti obesiti, diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit koronari jantung melalui kerjasama dengan bahagian Kesihatan Awam.

    • Berfungsi sebagai sumber rujukan teknikal dan khidmat nasihat berkaitan aktiviti fizikal.

Direktorat Perkhidmatan Pembedahan & Kecemasan

PENAFIAN
DASAR PRIVASI
DASAR KESELAMATAN

Hospital Tuanku Ja'afar
Jalan Rasah, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
Telefon: 06-768 4000 | E-mel: htjs[at]moh.gov.my

Statistik Pelawat