Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental

Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental

Pengenalan

Latar Belakang

Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) telah mula beroperasi sejak tahun 1968.

Lokasi

Jabatan ini terletak 1 km dari bangunan utama hospital, iaitu berhampiran dengan Klinik Kesihatan, Jalan Rasah. Ia mudah diakses dengan pengangkutan awam. Perhentian bas juga terletak berhampiran dengan jabatan dengan jarak anggaran kurang dari 200 meter.

Jabatan ini mempunyai dua bangunan utama yang dihubungkan oleh laluan berbumbung iaitu:

  1. Kompleks Wad

    • Wad Zamrud (Wad Lelaki)

    • Wad Mutiara (Wad Perempuan)

  2. Klinik Pesakit Luar dan MENTARI

    • Klinik Pesakit Luar

    • MENTARI

Visi

  • Memberi perkhidmatan promotif, kuratif dan rehabilitatif yang bermutu tinggi dengan mengutamakan hak-hak asasi pelanggan didalam meningkatkan kualiti kesihatan mental

  • Menggalakkan tanggungjawab individu dan penyertaan masyarakat dengan memberikan penekanan terhadap promosi kesihatan mental untuk memperolehi kehidupan yang bermakna

Misi

  • Kami adalah bertanggungjawab meningkatkan kemahiran professionalisme dan produktiviti dalam memberi perkhidmatan rawatan dan pemulihan psikiatri yang berkualiti dengan cekap dan amanah dengan mengambil kira hak-hak asasi pelanggan

  • Membantu pelanggan mencapai status kesihatan yang optima dari segi mental, fizikal dan kerohanian untuk kembali berfungsi secara maksima didalam masyarakat

Objektif Umum

Matlamat utama jabatan ini adalah menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan psikiatri yang komprehensif, berkesan, berkualiti dan berintegrasi untuk rawatan pesakit luar dan pesakit dalam bagi penduduk di Negeri Sembilan

Objektif Khusus
  1. Menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan psikiatri yang komprehensif, berkesan, berkualiti dan berintegrasi untuk rawatan pesakit luar dan pesakit dalam bagi penduduk di Negeri Sembilan termasuk:

    • Pelanggan semua peringkat umur

    • Pelanggan yang mempunyai gangguan psikosis dan neurosis

    • Pelanggan dari pelbagai status ekonomi dan social

  2. Menyediakan kemudahan yang sejajar dengan undang-undang semasa mengikut:-

    • Akta Kesihatan Mental 2001

    • Peraturan Kesihatan Mental 2010

    • Akta Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 Dan Peraturan 2006

  3. Meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan masyarakat umum berkaitan kesihatan mental

  4. Memodenkan peralatan pendidikan, perkhidmatan serta kemudahan fizikal

Perkhidmatan

1. Perkhidmatan Rawatan Pesakit Dalam & Luar

Kompleks wad jabatan ini mempunyai dua wad utama iaitu:

  1. Wad Zamrud (Wad Lelaki): mempunyai 20 katil

  2. Wad Mutiara (Wad Perempuan): mempunyai 16 katil

Klinik pakar pesakit luar memberikan perkhidmatan klinik susulan serta kes baru bagi kes-kes General Psychiatry dan juga kes-kes subkepakaran seperti kes Psychogeriatric, Community Psychiatry, Child and Adolescent Psychiatry, Addiction Psychiatry dan Consultation-Liaison Psychiatry.

Klinik ini mempunyai bilik konsultasi yang tidak mencukupi untuk menampung perkhidmatan pesakit yang semakin bertambah. Klinik ini dikendalikan oleh pakar psikiatri, pegawai-perubatan perubatan serta disokong oleh anggota paramedik dan pembantu tadbir. Pakar-pakar psikiatri dari luar HTJ termasuklah pakar psikiatri dan pensyarah dari IMU, serta pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja dari Hospital Melaka turut memberikan khidmat konsultasi mengikut jadual yang ditetapkan.

2. Perkhidmatan Klinik Lawatan Pakar

Selain menerima kunjungan pakar psikiatri dari luar, pakar psikiatri dari jabatan ini turut membuat lawatan konsultasi ke hospital-hospital lain di Negeri Sembilan (Jadual 4).

3. Perkhidmatan Unit Psikiatri Komuniti

Unit ini membuat lawatan komuniti setiap hari dan merangkumi rumah-rumah pesakit yang berada dalam 60 km radius dari hospital. Unit ini menawarkan dua perkhidmatan utama iaitu:

  1. Perkhidmatan Perawatan Akut (Acute Home Care, AHC)

    • Pengurusan yang komprehensif dalam komuniti bagi pesakit psikiatri yang mengalami gejala-gejala akut atau dalam krisis yang memerlukan rawatan rapi

  2. Perkhidmatan Perawatan Asertif (Assertive Community Treatment, ACT)

    • Sistem penjagaan di dalam komuniti bagi pesakit kronik psikiatri dengan memberikan perkhidmatan secara berterusan dan komprehensif dan menangani semua keperluan klinikal dan psikososial pesakit.

4. Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI)

MENTARI terletak di dalam klinik pakar psikiatri, bersebelahan dengan unit farmasi psikiatri. Matlamat utama pusat ini adalah merupakan pusat penjagaan dalam komuniti yang menyediakan khidmat saringan, diagnosis, rawatan dan pemuliham kepada mereka yang berhadapan dengan isu kesihatan mental di Malaysia. Antara perkhidmatan MENTARI adalah :

  1. Memberikan rawatan rehabilitasi kepada pesakit luar

  2. Membantu pesakit dalam penyediaan untuk berkerja menerusi program “Supported Employment”

5. Perkhidmatan Unit Ketagihan Dadah (Addiction Psychiatry)

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah:

  1. Klinik Terapi Gantian Metadon (Klinik Metadon)

    • Klinik Metadon HTJS mula beroperasi pada tahun 2007. Fungsi utama klinik ini adalah memberikan rawatan terapi gantian Metadon kepada pesakit yang mempunyai masalah ketagihan heroin. Selain itu, klinik ini juga menerima OKT (Orang Kena Tahan) dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas masalah ketagihan dadah dalam pengesahan sebagai penagih dadah. Jadual operasi klinik ini adalah seperti dalam Jadual 5.

  2. Pesakit dalam

    • Merawat pesakit yang mempunyai gejala akut akibat masalah penyalahguaan dadah

  3. Pesakit luar

    • Merawat pesakit yang telah stabil dan mempunyai masalah ketagihan kronik secara berkala.

  4. Rujukan pesakit dalam

    • Menerima rujukan dari wad umum bagi pesakit yang mempunyai masalah Substance-Related Disorders. Antara kes-kes rujukan yang selalu diterima adalah masalah ketagihan alkohol dan juga masalah ketagihan heroin.

  5. Latihan

    • Unit ini menawarkan latihan sangkutan Addiction Psychiatry bagi Program Sarjana Perubatan, Program Latihan Kepakaran Laluan Parallel dan Program Subkepakaran.

6. Perkhidmatan Unit Geriatrik Psikiatri

Unit Geriatrik Psikiatri memulakan operasi pada tahun 2017. Unit ini menyediakan perkhidmatan khusus kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan mental. Perkhidmatan yang diberikan oleh unit ini adalah:

  1. Pesakit dalam

    • Merawat pesakit warga emas yang mempunyai gejala akut penyakit mental

  2. Pesakit luar

    • Menjalankan klinik pesakit luar bagi kes-kes baru dan kes-kes susulan yang telah stabil

  3. Rujukan pesakit dalam

    • Menerima rujukan, membuat penilaian dan memberikan rawatan psikiatri kepada pesakit dalam di wad-wad umum yang berusia 60 tahun ke atas.

  4. Lawatan ke rumah

    • Membuat lawatan dan memberikan rawatan psikiatri kepada pesakit warga emas yang dirujuk untuk lawatan di rumah.

  5. Lawatan pakar

    • Memberi rawatan untuk pesakit di klinik memori bergabung dengan perubatan geriatrik pada setiap hari Rabu. Pakar psikiatri geriatrik jabatan ini juga memberikan khidmat lawatan subkepakaran ke hospital-hospital daerah seperti Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan Hospital Port Dickson.

  6. Latihan

    • Unit ini menawarkan latihan sangkutan psikiatri geriatrik (Psychogeriatric) bagi Program Sarjana Perubatan, Program Latihan Kepakaran Laluan Parallel dan Program Subkepakaran. Unit ini juga memberi latihan kepada staf kesihatan primer mengenai langkah pencegahan dementia di kalangan golongan warga emas.

7. Perkhidmatan Unit Psikiatri Liason

Fungsi utama unit ini adalah menerima rujukan pesakit dalam daripada wad-wad umum, serta membuat rondaan dan memberikan rawatan psikiatri kepada pesakit yang dirujuk di wad umum. Unit ini juga mempunyai klinik susulan liaison bagi pesakit-pesakit yang baru didiscaj dari wad umum.

8. Perkhidmatan Unit Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja

Unit ini mula beroperasi sejak tahun 2018. Unit ini juga menerima kunjungan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja dari Hospital Melaka dan dari International Medical University IMU. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti:

  1. Pesakit dalam

    • Merawat pesakit kanak-kanak dan remaja yang mempunyai gejala akut penyakit mental

  2. Pesakit luar

    • Menjalankan klinik pesakit luar bagi kes-kes baru dan kes-kes ulangan yang telah stabil.

  3. Rujukan pesakit dalam

    • Menerima rujukan, membuat lawatan dan memberikan rawatan kepada pesakit dalam dikalangan kanak-kanak dan remaja di wad-wad umum.

  4. Pasukan SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect)

    • Menggangotai pasukan SCAN hospital termasuklah menghadiri mesyuarat SCAN sekali setiap 2 bulan.

9. Perkhidmatan Unit Psikologi Klinikal Khusus

Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah:

  1. Intervensi psikoterapi

    • Antara intervesi psikoterapi yang diberikan adalah Cognitive Behaviour Therapy (CBT), Behavioural Therapy dan lain-lain terapi yang bersesuaian

  2. Penilaian psikologi

    • Antara perkhidmatan penilaian psikologi yang ditawarkan adalah ujian IQ, ujian kecelaruan personaliti dan penilaian masalah pembelajaran.

10. Perkhidmatan Terapi Elektrokonvulsif (Electroconvulsive Therapy, ECT)

Jabatan ini turut menyediakan perkhidmatan terapi ECT bagi pesakit yang memerlukan. Perkhidmatan ECT dijalankan secara pesakit dalam dan juga pesakit luar. Ia dijalankan di ECT Suite, yang terletak di kompleks bangunan wad. Di bilik ECT terdapat ruang pemerhatian dan juga ruang rawatan ECT.

Perkhidmatan ECT dijalankan dengan kerjasama dari Jabatan Anaestesiologi bagi tujuan pelalian sebelum rawatan ECT diberi kepada pesakit. Pegawai perubatan dari jabatan Anaestesiologi akan menilai keadaan fizikal pesakit sebelum pelalian diberikan.

Direktorat Perkhidmatan Perubatan & Psikiatri

PENAFIAN
DASAR PRIVASI
DASAR KESELAMATAN

Hospital Tuanku Ja'afar
Jalan Rasah, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
Telefon: 06-768 4000 | E-mel: htjs[at]moh.gov.my

Statistik Pelawat