Jabatan Kerja Sosial Perubatan
Pengenalan
Profesion kerja sosial menjadi penting dengan wujudnya pelbagai permasalahan sosial masa kini. Kerjaya ini bermula pada tahun 1950an-1970an dan ketika itu individu yang menjalankan tugas kerja sosial lebih dikenali sebagai “Almoner”. Perkhidmatan kerja sosial merupakan perkhidmatan ikhtisas berasaskan ilmu saintifik kearah memahami individu dalam ruang lingkup kehidupan mereka. Setiap individu yang berkembang memerlukan tunjuk arah serta panduan kearah survival diri dari segi fizikal dan psikologikal. Oleh itu perkhidmatan kerja sosial perubatan memberi penumpuan khusus untuk memperbaiki kefungsian social untuk membolehkan individu mencapai tujuan serta menjalankan aktiviti memenuhi keperluan asas sebagaimana yang diperlukan di dalam komuniti. Setiap perkhidmatan yang diberikan perlu selaras dengan Kompetensi Kerja Sosial yang telah ditetapkan samada secara generik mahupun spesifik bagi mempastikan mutu perkhidmatan yang diberikan memenuhi tahap piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan.
Jabatan Kerja Sosial Perubatan yang terletak di Aras 1 merupakan jabatan sokongan klinikal. Pegawai Kerja Sosial Perubatan bersama dengan pegawai-pegawai klinikal serta kakitangan sokongan memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan yang menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial. Secara tidak langsung ini membantu Kementerian Kesihatan Malaysia mencapai wawasan kesihatan yang telah ditetapkan.
Visi
Mewujudkan sebuah Jabatan Kerja Sosial Perubatan yang dapat memberikan perkhidmatan secara bersepadu dan cemerlang untuk kepentingan pesakit serta masyarakat secara keseluruhannya.
Misi
Menjadi misi jabatan ini untuk memberikan perkhidmatan kerja sosial yang berkualiti dan beretika, cekap dan professional dalam memenuhi kehendak pesakit dan ahli keluarga mereka.
Objektif
Memberi perkhidmatan sokongan klinikal dengan membantu pesakit khususnya dari aspek psikososial dan sosio-ekonomi kearah meningkatkan kualiti kehidupan mereka melalui pemberian perkhidmatan secara professional, efisyen, saksama dan mesra.
Untuk memberi perkhidmatan sosial, rawatan serta pemulihan yang berkualiti dengan cekap dan berkesan kepada pesakit yang memerlukan rawatan bagi menyelamatkan nyawa dan menghilangkan kesakitan bagi mencapai pemulihan yang awal dan maksima
Perkhidmatan
Kerja kes di dalam Perkhidmatan kerja sosial perubatan dibahagikan kepada:
Sokongan emosi (kaunseling, runding cara, khidmat nasihat, temubual)
Sokongan Intrumental (bantuan peralatan perubatan, bantuan ubatan dll)
Sokongan Informasional (informasi social, informasi kewangan dll).
Pelaksanaan perlu dijalankan seperti berikut:
i. Sokongan emosi (Rundingcara, kaunseling, temubual)
Setiap penyakit akan mempunyai implikasi psikososial kepada setiap pesakit. Bagi membantu pesakit mengatasi masalah mereka, Pegawai Kerja Sosial Perubatan kini mampu untuk mengendalikan kerja kes dengan pendekatan secara holistic. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan membuat penilaian, strategi intervensi serta sesi susulan bagi setiap kes kendalian mereka.
Setiap Pegawai Kerja Sosial Perubatan bertanggungjawab membuat penilaian dengan melaksanakan kerja kes secara individu, keluarga mahupun komuniti kepada perujuk. Penilaian psikososial akan digunakan untuk:
Membantu agensi tertentu untuk membuat keputusan/memberikan bantuan.
Membantu pesakit serta ahli keluarga mengenalpasti serta meminimakan masalah yang wujud dari penyakit yang dialaminya.
Membantu pesakit serta ahli keluarganya memahami keperluan psikososial berhubungkait dengan keperluan kesihatan dalam kehidupan mereka.
Mengenalpasti potensi maksimum pesakit, keluarga, persekitaran serta orang yang signifikan dengan pesakit.
Membantu pesakit serta ahli keluarga mereka berhadapan dengan masalah emosi, sosial dan ekonomi ketika berada di dalam wad / discaj.
Pegawai Kerja Sosial Perubatan yang mendapat latihan pengkhususan akan mengendalikan terapi kepada klien yang mempunyai masalah secara khusus seperti kes sumbang mahram, rogol, penderaan, pengurusan tekanan dan sebagainya. PKSP yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaftar sebagai Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia boleh melaksanakan sesi terapi bersama klien berlandaskan etika yang telah ditetapkan.
ii. Sokongan instrumental
Sokongan instrumental merupakan sokongan social yang diberikan oleh PKSP kepada klien secara praktikal. Antara bantuan yang boleh diberikan adalah seperti bantuan peralatan alat perubatan/bukan perubatan, bantuan kewangan, perancangan discaj dan sebagainya. Untuk tujuan tersebut:
Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mempunyai pengetahuan luas tentang sumber-sumber dalam komuniti yang sedia ada bagi membantu pesakit yang memerlukan bantuan.
Pegawai akan membantu pesakit memperolehi implan, penempatan di Institusi serta masalah kewangan.
Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan membantu klien mendapatkan sumber sedia ada dalam komuniti melalui kerja-kerja liason di antara agensi, jabatan serta badan-badan berkanun.
iii. Sokongan Informasional
Ianya merupakan antara cabang ketiga dalam sokongan social yang diberikan kepada klien yang mendapatkan perkhidmatan jabatan ini. Melalui perkhidmatan ini, PKSP akan memberikan segala informasi yang berguna seperti informasi social, informasi kewangan, informasi pendidikan atau apa sahaja keperluan yang boleh diberikan kepada klien ke arah memberikan khidmat psiko-pendidikan untuk menyediakan klien berfungsi di dalam sumber yang ada dalam komuniti. Untuk tujuan ini PKSP perlu:
Mantap dengan pengetahuan mengenai sumber yang ada dalam komuniti
Berpengetahuan mengenai Akta yang berkaitan
Mempunyai keupayaan menjalin kerjasama dengan sumber yang ada