Jabatan Obstetrik & Ginekologi

Jabatan Obstetrik & Ginekologi

Pengenalan

Jabatan Obstetrik dan Ginekologi melangkah ke tahun 2024 dengan ikrar untuk mempertingkatkan dan memperbaiki mutu perkhidmatan kami. Seperti tahun-tahun terdahulu, jabatan ini terus melangkah maju ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan. Moto jabatan ini ialah ‘Rakan Kesihatan Wanita’ dan sehubungan dengan itu, mementingkan penjagaan kesihatan wanita secara holistic. Jabatan ini telah berjaya mencapai lebih 90% sasaran yang telah dirancangkan.

Jabatan O&G telah membantu menaikkan nama Hospital Tuanku Ja’afar berikutan ia menjadi hospital yang pertama di Malaysia untuk mencapai status ‘Hospital Rakan Bayi’ dan diikuti pengiktirafan sebagai ‘Hospital Rakan Suami’. Ia juga adalah hospital pertama yang mempunyai unit khas untuk pemeriksaan awal mengandung (Early Pregnancy Assessment Unit, EPAU), Klinik Diabetik dan Klinik ‘Bereavement’.

Jabatan ini memberikan perkhidmatan sub-kepakaran dalam beberapa bidang yang tertentu seperti maternofetal, onkologi, uroginekologi dan perkhidmatan ‘pre-pregnancy counselling’ yang telah diperkenalkan pada bulan November 2011. Selain itu, ia turut berbangga untuk menjadi pusat pengajaran untuk pelajar perubatan pra-ijazah Universiti Perubatan Antarabangsa (International Medical University), pelajar-pelajar paramedic, dan juga latihan sarjana ijazah bidang O&G dan Perubatan Keluarga. Ia diiktiraf penuh oleh Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG) London, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai sebuah pusat latihan untuk pelajar-pelajar sarjana ijazah.

Jabatan ini sentiasa cuba untuk menambah baik mutu kerja dengan mengadakan pelan strategik dan beberapa pembaharuan bagi mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti.

Visi

Jabatan Obstetrik dan Ginekologi akan menjadi peneraju utama mempromosi dan memberi perawatan melibatkan kesihatan reproduktif wanita.

Misi

Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Seremban akan memimpin dalam aspek-aspek penggalakan dan perawatan kesihatan reproduktif wanita melalui:

  1. Pemastian kelahiran selamat buat kedua ibu dan bayi.

  2. Peningkatan tahap rawatan yang sesuai berlandaskan etika dengan hak asasi manusia dan ehsan terpelihara sepanjang masa.

  3. Penggunaan teknologi yang bersesuaian, serta memenuhi kaedah "evidence based medicine".

  4. Pemantauan berterusan terhadap piawaian yang ditetapkan termasuk kaedah pemastian kualiti.

  5. Kajian-kajian yang memberi faedah kepada masyarakat.

  6. Pengekalan taraf Hospital Rakan Bayi.

  7. Pembelajaran berterusan kepada semua peringkat kakitangan; dengan ini memastikan penjagaan yang sesuai dan terbaik sepanjang masa.

Objektif

  1. Menyediakan khidmat obstetrik dengan memberi diagnosis, perawatan dan rehabilitasi yang bersesuaian, efektif, mencukupi dan selesa kepada ibu-ibu yang memerlukan, bagi memastikan kelahiran selamat demi menurunkan kes kematian bayi, dan juga mortaliti dan morbiditi ibu.

  2. Menyediakan perkhidmatan yang efisien dan efektif di dalam persekitaran yang optimum kepada pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan elektif dan kecemasan, supaya dapat mengurangkan tekanan dan kesakitan, dan seterusnya menggalakkan pemulihan awal.

  3. Menyediakan khidmat ginekologi dengan memberi diagnosis, perawatan dan rehabilitasi yang bersesuaian, efektif, mencukupi dan selesa kepada pesakit yang memerlukan, bagi meningkatkan taraf kesihatan masyarakat.

  4. Menyediakan khidmat obstetrik dan ginekologi dengan memberi diagnosis dan perawatan yang bersesuaian, efektif, mencukupi dan selesa kepada pesakit yang memerlukan perhatian pakar semasa temujanji di klinik dan juga rawatan susulan.

  5. Menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling yang efektif kepada semua pesakit obstetrik dan ginekologi dengan memastikan pendekatan secara holistik dan berkesan diberikan.

  6. Memberikan perancangan perawatan lebih awal kepada pesakit-pesakit kronik yang merancang untuk hamil melalui klinik pra kehamilan.

  7. Meningkatkan kadar survival 5 tahun bagi pesakit kanser wanita dengan menyediakan rawatan kemoterapi dan radioterapi serta memperkenalkan program saringan kanser serviks dan melakukan intervensi awal melalui program pap smear, saringan HPV dan colposcopy.

  8. Membudayakan cara kerja berpasukan dan budaya korporat dalam pengurusan dan perawatan pesakit bagi memastikan khidmat dapat diberi secara professional, empati, dedikasi dan berkesan.

  9. Memastikan pembelajaran, latihan dan kemahiran yang berterusan kepada kakitangan melalui pelbagai kursus dan bengkel anjuran jabatan dan hospital.

  10. Meneruskan dan menggalakkan promosi penyusuan susu ibu bagi mengekalkan taraf sebagai Hospital Rakan Bayi.

Perkhidmatan

Antara perkhidmatan yang terdapat di jabatan ini adalah seperti berikut:

  1. Berfungsi sebagai pusat rawatan utama bagi Negeri Sembilan untuk kes-kes rujukan dari disiplin dan klinik periferi yang lain

  2. Rawatan pesakit dalam

  3. Rawatan Pesakit Luar; klinik Obstetrik, klinik Ginekologi, early pregnancy assessment unit (EPAU), Klinik Pre-Pregnancy, Combined clinic, klinik Colposcopy

  4. Rawatan subkepakaran; maternofetal medicine (MFM), Gynae-onkologi, Uroginekologi

  5. Perkhidmatan pembedahan elektif

  6. Perkhidmatan pembedahan kecemasan

  7. Lawatan Pakar Ke Hospital lain

  8. Bertindak sebagai pusat latihan pelajar-pelajar pra-siswazah dan sarjana perubatan

  9. Berfungsi sebagai pusat kajian dan sumber teknikal

Direktorat Perkhidmatan Wanita & Kanak-Kanak

PENAFIAN
DASAR PRIVASI
DASAR KESELAMATAN

Hospital Tuanku Ja'afar
Jalan Rasah, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
Telefon: 06-768 4000 | E-mel: htjs[at]moh.gov.my

Statistik Pelawat