Perutusan Pengarah Tahun Baru 2022

 

pengarah

 

TEKS UCAPAN PENGARAH

MAJLIS AMANAT AKHIR AWAL TAHUN 2022

7 JANUARI 2022 (JUMAAT)

AUDITORIUM GEMILANG

8.30 PAGI

 

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Yang saya hormati Timbalan-Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Unit,

YBhg. Dato’ Dr, dan tuan-puan warga HTJS yang saya kasihi sekelian

Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. atas limpah dan inayahNya kerana kita diberikan kesempatan dan keupayaan untuk bersama-sama melangkah ke gerbang Tahun Baharu 2022. Berbekalkan keyakinan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga HTJS. Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baru dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia umumnya dan warga HTJS khususnya.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan atas penganjuran Majlis Amanat bagi tahun 2022 yang bertema Mendepani Cabaran, Melangkaui Ekspektasi.

Warga HTJS yang saya hormati, Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanawataala kerana kita semua telah berjaya melepasi tahun 2021 yang sangat mencabar dari pelbagai aspek. Sepanjang tahun 2021, Negara kita masih diuji dengan pandemik Covid-19 dan berdepan dengan cabaran menguruskan vaksinasi Covid 19 dan menguruskan persepsi orang awam mengenai keberkesanan vaksin Covid 19. Usaha bersama antara Kerajaan dan rakyat telah membuahkan hasil apabila mutakhir ini, jumlah jangkitan telah mencatatkan penurunan sehingga sekitar 3,000 kes harian.

Negara turut bergelut dalam ketidakstabilan sosio-ekonomi dan politik tanah air serta bencana banjir yang menimpa di beberapa kawasan yang dahulunya bukan dikenalpasti sebagai flood prone area di pantai barat semenanjung Malaysia pada penghujung tahun ini. Musibah ini tentunya menuntut pengorbanan dari segi wang ringgit, tenaga, keupayaan dan masa untuk bangkit semula. Seperti yang kita sedia maklum Kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit akibat kerosakan infrastruktur akibat bencana ini. Saya yakin di kalangan warga HTJS juga ada yang terkesan dan saya selaku Ketua Jabatan turut bersimpati dan mendoakan kalian yang terjejas tidak berputus asa dan terus semangat untuk bangun dan membina semula kehidupan.

Lanskap ekonomi Negara tahun 2022 adalah satu "tempoh peralihan". Ekonomi beransur pulih dengan stabil dan Negara akan  berhubung semula dengan seluruh dunia. Memetik amanat YAB Perdana Menteri tempoh hari, tahun 2022 juga adalah tahun untuk Negara kita  kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang. Beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022. Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa. Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen  bagi mencapai status “carbon-neutral nation” pada tahun 2050.

Sektor Kesihatan diletakkan di dalam skala yang tinggi dalam mendaya upaya Kesejahteraan rakyat dan Negara, sector kini akan terus  berdaya maju di mana bagi tahun 2022  Kerajaan memperuntukkan RM32.4 bilion kepada kementerian kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2022, peruntukan kedua terbesar selepas sektor pendidikan.

Bagi menangani wabak Covid-19, RM4 bilion diperuntukkan khusus untuk menangani krisis kesihatan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, RM2 bilion diperuntukkan bagi program vaksinasi sementara baki RM2 bilion lagi adalah untuk mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam melalaui pembelian ubat-ubatan, peralatan perlindungan peribadi dan kit kesihatan. Justeru, jumlah peruntukan ini adalah cerminan kepada tanggungjawab dan cabaran yang bakal digalas oleh semua warga Kesihatan bagi tahun ini.

Warga HTJS yang saya hormati,

Sejajar dengan tema perhimpunan kali ini, saya ingin meningatkan bahawa kita masih bertanggungjawab dalam mengemaskan isu dalaman seperti isu integriti yang masih menjadi isu kronik dalam perkhidmatan awam. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, isu keruntuhan integriti penjawat awam bukan lagi isu individu, atau isu dalaman organisasi, tetapi merupakan isu kita bersama. Di sini saya ingin memperkasakan tanggungjawab Ketua Organisasi supaya lebik cakna dan bijak dalam menangani isu ini. Hal ini berkait rapat dengan amalan kelaziman atau kebiasaan yang telah berakar umbi. Justeru itu, saya menyeru sekiranya ada kebiasaan atau kelaziman yang tidak betul dari segi peraturan semasa atau norma semasa, saya mohon diperbetulkan. Saya akui, akan wujud senario resistant to change tapi inisiatif kecil untuk satu perubahan akan membawa impak yang besar kepada organisasi dan setiap building unit di dalamnya.

Saya juga ingin menyentuh mengenai pengemakinian sistem dan prosedur kerja kita di Hospital ini. Umumnya, proses dan prosedur kerja yang panjang, polisi yang tidak sesuai dan lapuk, serta tiada keupayaan membuat keputusan dan menetapkan keutamaan dalam setiap urusan merupakan antara masalah birokrasi yang dihadapi di tempat kerja. Justeru, saya ingin menekankan isu kecekapan dan profesionalisme dalam membuat keputusan kerana ianya berkait rapat dengan isu integriti dan kepuasan pelanggan.

Di peringkat hospital, saya menjangkakan business will come back as usual di mana sebelum ini beberapa urusan seperti kapasiti latihan, temujanji di klinik-klinik dan penggunaan wad dan sebagainya telah diminimukan bagi memberi laluan kepada pengurusan pendemik Covid 19. Saya mengharapkan semua komponen telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan  kesihatan yang terbaik kepada pelanggan dan orang awam.

Mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun 2021, saya ingin mengajak semua untuk melangkah ke tahun baharu 2022 dengan satu semangat dan keazaman yang baharu. Untuk tahun baharu 2022, saya ingin menyeru semua warga HTJS terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama-sama mendepani cabaran sama ada yang telah kita jangka atau diluar jangkaan. Begitu juga dengan sasaran-sasaran kerja dan Key Performance Indicator (KPI) yang telah kita rancang dan tetapkan untuk dilaksanakan pada tahun ini perlu digiatkan dengan pelan tindakan atau pelaksanaan yang sesuai. 

Di samping itu, kita masih perlu menjaga kita, ingin saya ingatkan juga, kita masih belum menang sepenuhnya dalam mendepani pendamik Covid 19 ini, justeru itu saya menyeru agar setiap warga hospital agar menitik beratkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga. Ini adalah penting memandangkan warga kesihatan yang sihat adalah refleksi kepada penyampaian sistem kesihatan yang berkualiti.

Ingin saya maklumkan juga di sini, saya dan pihak hospital dengan berat hati akan kehilangan seorang pegawai kanan yang telah begitu lama berkhidmat di hospital ini, saya dimaklumkan beliau telah berkhidmat selama 32 tahun dalam perkhdimatan awam dan selama 11 tahun di HTJS. Tuan Haji Mat Sani bin Othman, Ketua Penolong Pengarah III akan berpindah ke Kementerian Kewangan mulai daripada 5 Januari 2022. Secara peribadi saya sangat menghargai segala usaha dan penat lelah beliau dan pasukannya dalam memastikan setiap sistem berasaskan teknologi maklumat dapat digunakan tanpa gangguan. Bagi pihak hospital saya mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya di Kementerian Kewangan, sesungguhnya budi Tuan Haji Mat Sani akan kami kenang jua dan ingat-ingatlah kami di sini.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan selamat tahun baharu 2022 dan terima kasih.

Read 1207 times