Jata Negeri
PORTAL RASMI
JABATAN KESIHATAN NEGERI
NEGERI SEMBILAN
Jata Negeri
PORTAL RASMI
JABATAN KESIHATAN NEGERI
NEGERI SEMBILAN

Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS)

PENGENALAN

SEJARAH PENUBUHAN

Unit Kesihatan Pekerjaan & Alam Sekitar telah ditubuhkan di Negeri Sembilan sejak tahun 1996 dan tugas-tugas di bawah unit ini telah dijalankan oleh Pegawai AIDS/STI. Pada tahun 1997, dua perjawatan untuk Pegawai Kesihatan Pekerjaan 41 (dulunya dikenali sebagai Kesihatan Cara Kerja) telah diluluskan iaitu satu di Jabatan Kesihatan Negeri dan satu lagi di Pejabat Kesihatan Seremban. Jawatan Pegawai Kesihatan Pekerjaan di Jabatan Kesihatan Negeri telah diisi pada pertengahan bulan Februari 1997 sementara jawatan di Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah diisi pada tahun 2001. Satu jawatan bagi Jururawat Kesihatan juga diluluskan di Pejabat Kesihatan Seremban dan telah diisi pada tahun 2002. Pada tahun 2004, satu jawatan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U29 telah diluluskan dan diisi di Jabatan Kesihatan Negeri. Satu jawatan Pembantu Tadbir (Rekod) N17 telah diluluskan pada tahun 2007. Jawatan Pembantu Tadbir (Rekod) N17 telah diisi pada bulan Mei 2008. Pada tahun 2012, satu jawatan Pakar Perubatan Kesihatan Awam telah diluluskan dan diisi untuk unit ini.

MATLAMAT PENUBUHAN

Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar menjalankan dua program utama iaitu Program Kesihatan Pekerjaan dan Program Kesihatan Alam Sekitar. Di bawah Program Kesihatan Pekerjaan, fungsi utama unit ini adalah untuk membantu hal-hal berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kakitangan-kakitangan kesihatan melalui aktiviti-aktiviti seperti pengesanan serta notifikasi penyakit pekerjaan, kecederaan dan keracunan, latihan-latihan dan promosi berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta menjalankan pengawasan perubatan ke atas pekerja yang berisiko tinggi di klinik kesihatan pekerjaan. Unit ini juga membantu jabatan-jabatan kerajaan lain terutamanya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Pertanian di dalam menentukan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja-pekerja di industri selain yang tersebut di atas adalah terjamin.

Di bawah Program Kesihatan Alam Sekitar pula, fungsi utama unit ini adalah untuk membantu dalam hal-hal berkaitan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan persekitaran. Unit ini bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan kesejahteraan alam sekitar.