Lawatan Kerja ke Tapak Cadangan Pembinaan Klinik Kesihatan Baharu (Jenis 3) Rantau, Negeri Sembilan.
Rantau, 31 Julai 2026 – YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Baharu (Jenis 3) Rantau, Negeri Sembilan hari ini. Ketibaan YB Menteri Kesihatan telah disambut oleh YBrs. Ir. Norzani binti Mahmood, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan (CKK), Jabatan Kerja Raya (JKR) yang seterusnya menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan projek pembinaan klinik baharu tersebut.
Pembinaan Klinik Kesihatan Rantau baharu merupakan langkah penting bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah beroperasi selama 64 tahun. Klinik baharu ini dirancang bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat, memandangkan klinik sedia ada menerima antara 350 hingga 450 pesakit setiap hari. Projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini melibatkan pembinaan sebuah bangunan dua tingkat di atas tapak seluas 5.0 ekar. Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 11 Ogos 2026 dan dijangka siap pada Julai 2029 dengan kos keseluruhan sebanyak RM46.99 juta.
Apabila siap kelak, klinik ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 75,000 penduduk di sekitar Rantau dan kawasan berhampiran. Antara perkhidmatan yang bakal disediakan ialah rawatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, perkhidmatan kecemasan, pergigian, makmal, radiologi serta rehabilitasi. KKM akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya bagi memastikan projek pembinaan Klinik Kesihatan Rantau dilaksanakan mengikut jadual, kos dan spesifikasi yang ditetapkan demi menyediakan kemudahan kesihatan yang moden, selesa dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah YBrs. Dr. Zuraidah binti Mohamed, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan; serta YBrs. Ir Mohamad Hanafi bin Kasim, Jurutera Awam Penguasa Pasukan Projek Persekutuan Negeri Sembilan.