Jata Negeri
PORTAL RASMI
JABATAN KESIHATAN NEGERI
NEGERI SEMBILAN
Jata Negeri
PORTAL RASMI
JABATAN KESIHATAN NEGERI
NEGERI SEMBILAN

Majlis Perasmian Program Semarak Merdeka Kementerian Kesihatan Peringkat Negeri Sembilan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Majlis Perasmian Program Semarak Merdeka Kementerian Kesihatan Peringkat Negeri Sembilan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Semarak Merdeka Kementerian Kesihatan Peringkat Negeri Sembilan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah hari ini. Majlis yang menghimpunkan lebih 1,000 warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang kepada sembilan (9) Pusat Tanggungjawab (PTJ) sebagai simbol semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga KKM sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

HTAN dipilih sebagai lokasi pelancaran berikutan peranannya sebagai hospital pakar rujukan utama bagi Kluster Timur Negeri Sembilan yang meliputi daerah Kuala Pilah, Tampin dan Jempol. Hospital yang beroperasi sejak tahun 1995 ini mempunyai kapasiti 458 katil dan disokong oleh 1,377 warga kesihatan yang komited memberikan perkhidmatan kepada lebih 280,000 penduduk. YB Menteri Kesihatan menegaskan bahawa kemerdekaan sebenar adalah apabila rakyat bebas daripada belenggu penyakit, termasuk penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, kanser dan penyakit jantung, masalah kesihatan mental serta isu bantut (stunting) yang menjejaskan masa depan generasi akan datang.

Beliau turut menekankan bahawa setiap rakyat berhak menikmati kehidupan yang sihat, bermaruah dan sejahtera sehingga ke usia emas. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan terus komited melaksanakan reformasi sistem kesihatan melalui pemerkasaan infrastruktur, pendigitalan perkhidmatan termasuk Rekod Perubatan Elektronik (EMR), pengurangan kesesakan hospital, peningkatan akses kepada perkhidmatan pakar, pemeliharaan kebajikan petugas kesihatan serta pembangunan sistem pembiayaan kesihatan yang lebih mampan demi kesejahteraan rakyat. 
 
KKM akan terus komited memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui pembangunan infrastruktur, pemerkasaan tenaga kerja dan peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia; YBrs. Dr. Zuraidah binti Mohamed, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan; YBrs. Dr. Noor Fakhrul Azman bin Mohd Ali, Pengarah Hospital Tuanku Ampuan Najihah; serta barisan pengurusan tertinggi KKM di peringkat negeri dan daerah.