YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mengadakan lawatan kerja teknikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke tapak cadangan pembinaan Hospital Baharu Bandar Enstek di Daerah Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Sejurus ketibaan, YB Menteri Kesihatan telah diberikan taklimat mengenai cadangan pembangunan hospital tersebut oleh YBrs. Dr. Zuraida binti Mohamed, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, sebelum meninjau tapak yang dikenal pasti bagi pelaksanaan projek berkenaan.
Dalam sesi tinjauan tersebut, YB Menteri Kesihatan telah menyatakan bahawa pembangunan hospital pakar major berkapasiti 500 katil ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Persekutuan dan KKM yang telah digerakkan sejak tahun 2024. Pembinaan hospital ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di samping memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif, berkualiti dan berdaya tahan.
Hospital ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 penduduk di kawasan Bandar Enstek, Nilai, Labu, Sendayan serta kawasan sekitarnya, sekali gus memenuhi keperluan kesihatan penduduk yang semakin meningkat selaras dengan pembangunan pesat negeri.
YB Menteri Kesihatan turut menjelaskan bahawa pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengamalkan pengurusan fiskal yang berhemah melalui pengoptimuman aset sedia ada.
KKM komited untuk memastikan projek Hospital Baharu Bandar Enstek dapat dilaksanakan mengikut perancangan, sekali gus memperkukuh kapasiti sistem kesihatan negara, meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti serta menyokong pembangunan sosioekonomi Negeri Sembilan secara mampan.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan tertinggi kementerian serta wakil agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk YBhg. Dato' Sri Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM YBhg. Dato' Dr. Mohd Azman bin Yacob, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM; YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM; Encik Muhammad Afi Syazani bin Ramle, Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Pendidikan Tinggi YBrs. Dr. Arwan bin Sabri, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan YBrs. Gs. Dr. Muhammad Yazrin bin Yasin, Pengarah Kanan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya YBrs. Encik Shamsul Kamal Arifin bin Ahmad, Pengarah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Sembilan serta YB Tuan Cha Kee Chin, Ahli Parlimen Rasah.
