SAMBUTAN HARI MALARIA SEDUNIA PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2025
Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu telah menganjurkan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Sembilan 2025 dengan jayanya, pada 28 Julai 2025 bertempat di Dewan Besar Kuala Klawang. Tema sambutan pada tahun ini ialah “Malaria Berakhir dengan Kita: Pendanaan, Inspirasi, Iluminasi”, selaras dengan usaha berterusan untuk membasmi jangkitan malaria di Malaysia. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Hajah Tengku Zamrah binti Tengku Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO.
Objektif utama penganjuran adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit malaria, memperkukuh kerjasama komuniti dan menggalakkan kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta.
Penganjuran acara ini diterajui oleh jawatankuasa khas dengan sokongan pelbagai pihak. Penaung program ialah YBrs. Dr. Zuraida Binti Mohamed, Pengarah Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan manakala YBrs. Dr. Hjh. Suriyati binti Abd Aziz, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) bertindak selaku penasihat program. Penganjuran majlis program yang gilang- gemilang ini adalah hasil usaha keras Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu di bawah pimpinan YBrs. Dr. Mohd Safrin bin Mohamad Bashaabidin selaku Pegawai Kesihatan Daerah Jelebu. Rakan kolaborasi utama yang turut sama memeriahkan program adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Sembilan dan Melaka (JAKOA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Jelebu dan Majlis Daerah Jelebu. Kehadiran peserta pada sambutan kali ini amat menggalakkan dengan jumlah kehadiran seramai 550 orang.
Selain acara utama, beberapa program pra-acara turut dilaksanakan di Tabika KEMAS perkampungan Orang Asli, antaranya pada 15 Mei 2025 di Kg. OA Ulu Kelaka, 20 Mei 2025 di Kg. OA Baner Tenkoh, dan 22 Mei 2025 di Kg. OA Dusun Kubur. Program-program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pencegahan malaria.
Dr Mohd Ammar Ihsan Bin Zamzuri
KPPK,
Unit Vektor, JKNNS
20.08.2025