Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) terletak di kawasan seluas 26 hektar di Jalan Rasah, 70300 Seremban. Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban berfungsi di bawah jagaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Hospital ini mempunyai 1143 katil dan adalah yang terbesar di Negeri Sembilan.
Hospital ini mempunyai 23 kepakaran klinikal, yang memberi perkhidmatan kepada penduduk Negeri Sembilan. Ia merupakan hospital rujukan bagi semua Hospital Daerah, Pusat Kesihatan dan semua Hospital serta Klinik Swasta di Negeri Sembilan.
HTJS merupakan Lead Hospital dalam Hospital Kluster Negeri Sembilan 2. Hospital Kluster Negeri Sembilan 2 merupakan Hospital Kluster Kompleks yang terdiri daripada 1 Hospital Berpakar Major, 2 Hospital Berpakar Minor dan 1 Hospital Tanpa Pakar.

Evolusi Perkhidmatan Kepakaran HTJS
2 Ogos 1894
Pembukaan Hospital Pertama di Bukit Rasah

Hospital Seremban pertama kali memulakan perkhidmatannya pada 2 Ogos 1894 di atas Bukit Rasah untuk memberi khidmat kepada pentadbir Inggeris dan pekerja ladang/lombong. Hospital ini asalnya hanya mampu memuatkan 125 orang pesakit dan lama-kelamaan menjadi amat sesak.
2 Ogos 1894
1 April 1904
Pengenalan Dasar Bil Hospital

Pihak pentadbir British memperkenalkan dasar bil bayaran hospital untuk kakitangan kerajaan dan rakyat biasa berdasarkan tangga gaji dan kelas wad
1933 - 1945
Perancangan Bangunan Baru & Perang Dunia Kedua

Perancangan untuk membina bangunan baru bagi menggantikan bangunan kayu bermula pada tahun 1933. Namun, rancangan ini tertangguh akibat berlakunya Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi Kerajaan British pasca-perang
1933 - 1945
1965 - 1966
Permulaan Pembinaan Hospital Baru

Setelah sekian lama terbengkalai, kerja-kerja menanam cerucuk bangunan baru Hospital Besar Seremban bermula pada 1965. Pada 5 November 1966, majlis meletakkan batu asas disempurnakan oleh Menteri Kesihatan pada masa itu, Tan Sri Haji Abdul Hamid Khan
1968 - 1969
Bangunan Siap dan Perasmian

Bangunan lapan tingkat berbentuk 'T' yang menelan belanja RM18 juta siap dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya pada 27 November 1968. Unit Pesakit Luar beroperasi pada 19 Februari 1969, dan hospital dirasmikan oleh Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar pada 29 Mac 1969
1968 - 1969
25 Ogos 1971
Penubuhan Pusat Latihan

Menteri Kesihatan, Tan Sri Haji Sardon bin Haji Jubir merasmikan Sekolah Latihan Pembantu Hospital yang pertama seumpamanya di Tanah Melayu bagi mengatasi kekurangan tenaga pakar
18 April 1996
Pengiktirafan "Hospital Rakan Bayi"

Hospital Seremban melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai "Hospital Rakan Bayi" yang pertama di Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF
18 April 1996
10 Mac 1998
Pelaksanaan "Hospital Rakan Suami"

Mengambil langkah progresif sebagai antara hospital kerajaan terawal yang melaksanakan program ini, membenarkan suami menemani isteri di dalam dewan bersalin untuk memberi sokongan moral
1999 - 2004
Pembinaan & Operasi Klinik Pakar

Pembinaan bangunan Klinik Pakar bermula pada 1999 bagi menampung keperluan rawatan khusus. Ia mula beroperasi pada Ogos 2004 dengan pelbagai kemudahan perubatan moden dan auditorium baharu
1999 - 2004
2004 - 2005:
Mencapai Pengiktirafan Antarabangsa

Memenangi Anugerah Pengurusan Hospital Asia Ke-3 di Bangkok untuk Projek Sukarelawan pada Oktober 2004 dan menerima Sijil Pematuhan Kualiti Akreditasi MSQH pada 22 Mei 2005
27 Julai 2006
Pertukaran Nama Kepada Hospital Tuanku Ja'afar Seremban

DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar berkenan merasmikan pertukaran nama Hospital Besar Seremban kepada Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, sebagai satu penghormatan tertinggi atas jasa perkhidmatannya melebihi satu abad
27 Julai 2006
18 Ogos 2007
Perasmian Klinik Pakar & Pengumuman Logo/Lagu Rasmi

Bangunan Klinik Pakar yang telah mula beroperasi sejak Ogos 2004 dirasmikan dengan gilang-gemilang oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan. Majlis ini turut disekalikan dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Kementerian Kesihatan Malaysia ke-50 peringkat Negeri Sembilan. Pada majlis yang sama, pemenang bagi pertandingan mencipta logo dan lagu rasmi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban telah diumumkan sebagai identiti baharu warga kerja hospital
2008
Pelancaran "Program Sesama Sayang"

Hospital terus mengorak langkah dalam aspek khidmat kemasyarakatan dengan penganjuran "Program Sesama Sayang" yang dirasmikan oleh YM Raja Datin Seri Salbiah Binti Tengku Nujumudin. Program ini menyasarkan perkhidmatan yang lebih mesra, cekap, dan berkualiti selaras dengan "Kempen Senyum" yang diterapkan kepada kakitangan
2008
27 Disember 2008
Kemangkatan Tuanku Ja'afar

DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar mangkat pada usia 86 tahun di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban akibat serangan angin ahmar pada pukul 11.45 pagi. Pemergian baginda sangat dirasai, dan tempoh berkabung selama 40 hari diisytiharkan dengan bendera dikibarkan separuh tiang
2011 - Alaf Baharu
Penerusan Kecemerlangan
Melangkah ke tahun 2011 dan abad ke-21, HTJS terus mengekalkan wawasannya sebagai pusat kecemerlangan dalam penjagaan promotif, kuratif, dan rehabilitatif. Hospital ini bukan sahaja menjadi pusat kepakaran klinikal utama di Negeri Sembilan, malah memiliki Sistem Pengurusan Kualiti bertaraf antarabangsa (MS ISO 9001:2000 dan Akreditasi MSQH) serta berfungsi sebagai institusi latihan dan penyelidikan perubatan
2011 - Alaf Baharu




