Major Incident Response Exercise (MIREX) 2026
Buat julung kalinya, Negeri Sembilan telah menjadi tuan rumah bagi program Major Incident Response Exercise atau MIREX pada 14 hingga 17 September 2026 bertempat di Akademi Kecemerlangan Minda dan Fizikal (AKAL), Felda Bukit Rokan.
Program ini adalah satu seminar dan bengkel berkenaan pengurusan bencana peringkat kebangsaan yang diadakan setiap dua tahun bermula 2010 dengan beberapa objektif utama; melengkapkan para peserta dengan maklumat terbaru berkenaan pengurusan bencana; menguji aspek kesiapsiagaan, respon dan pengetahuan protokol semasa pengurusan bencana dan mengukuhkan perpaduan antara peserta yang datang dari seluruh Malaysia.
Negeri Sembilan telah menghantar satu pasukan dengan kekuatan 14 prajurit bergelar “JANG WARRIORS” yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan fasiliti (Pakar Kecemasan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Pembantu Perawatan Kesihatan) bagi misi merebut kejuaraan dalam pertemuan 14 penjuru.
Alhamdulillah, Negeri Sembilan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan MIREX 2026 dengan markah 85.26. Selain itu, pasukan JANG WARRIORS juga telah berjaya memenangi beberapa kategori:
- Tempat pertama “Night Rescue”
- Tempat pertama “Chemical-Biological-Radiological-Nuclear-Explosion Rescue”
- Tempat pertama “MIREXathlon”
- Tempat ketiga “Mass Casualty Incident Rescue”
Lebih membanggakan apabila pegawai perubatan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuanku Ja’afar, Dr. Norain binti Mokhtar, telah dinobatkan sebagai peserta wanita terbaik kejohanan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua staf Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuanku Ja’afar (Dr. Norain binti Mokhtar, PPP En. Muhammad Hafizuddin bin Nor Azmi, PPK En. Muhammad Haziman bin Abdul Rahman) kerana telah berjaya mengangkat nama hospital dan seterusnya Negeri Sembilan ke peringkat yang lebih tinggi.




