--

LATAR BELAKANG HOSPITAL PORT DICKSON

Hospital Port Dickson (HPD) merupakan salah sebuah hospital kerajaan yang berdiri kukuh sebagai tunggak utama perkhidmatan kesihatan awam bagi seluruh daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dan sekitarnya. Terletak secara strategik di Kilometer 11, Jalan Pantai, Si Rusa, HPD berkhidmat untuk lebih daripada 130,000 penduduk tempatan serta jutaan pelancong yang berkunjung ke daerah percutian pesisir pantai ini. Liputan perkhidmatan HPD merangkumi 5 mukim dengan 65 kampung dan seluas 562 batu persegi. Dengan kapasiti 117 katil rasmi dengan 5 wad utama, 2 Dewan Bedah dan berstatus Hospital Berpakar Minor sejak tahun 2010 yang merangkumi 10 kepakaran, HPD akan sentiasa menjadi sebuah pusat rawatan perubatan yang cemerlang dalam semua aspek penjagaan kesihatan berorentasikan aspek keperluan dan kehendak semasa. 

 

Akar sejarah perkhidmatan perubatan di Port Dickson bermula seawal tahun 1895 (Sumber Arkib Negara). Pada ketika itu, sebuah kemudahan awal yang dikenali sebagai Hospital Beri-Beri dan dispensari kecil telah ditubuhkan di kawasan berhampiran pantai untuk merawat buruh-buruh estet dan penduduk setempat daripada wabak penyakit tropika. Perkhidmatan ini kemudiannya berkembang menjadi Hospital Daerah Port Dickson yang lama (kini berfungsi sebagai Klinik Kesihatan Port Dickson di Jalan Pantai Batu 1).

Terdapat dua buah hospital  (bulatan kuning) di Port Dickson. Yang pertama Hospital Beri-Beri (1897), berhampiran pekan Port Dickson, yang kemudiannya dinaiktarafkan  menjadi Hospital Daerah (1924).
Hospital yang kedua pula ialah Hospital Tentera (1926), berhampiran Bagan Pinang, yang dibuka untuk kegunaan tentera sahaja

 

Bagi menampung pertambahan penduduk dan tuntutan perubatan moden, tapak baharu seluas 55 ekar telah dibangunkan dengan kos kira-kira RM40 juta. Hospital Port Dickson baharu beroperasi secara rasmi pada 6 Jun 1994 dan mencatat sejarah tersendiri sebagai hospital berkonsepkan "Hospital Nukleus" pertama di Malaysia—sebuah reka bentuk binaan modular fleksibel yang diadaptasi daripada senibina hospital di United Kingdom untuk membolehkan perluasan kemudahan secara sistematik pada masa hadapan.

 

          

Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan
KM 11, Jalan Pantai, Bandar Baru Sunggala, 71050
Port Dickson, Negeri Sembilan

phone
06 - 6487333
mail
hpd@moh.gov.my

HOSPITAL PORT DICKSON

Hospital Port Dickson tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.

 

Tarikh Kemaskini:   Isnin 28 September 2026