Bersempena Sambutan Minggu Kesedaraan Pendermaan Organ, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dengan penuh penghormatan telah menganjurkan Majlis Penghargaan Keluarga Penderma Organ 2025 pada 16 Ogos 2025 yang lalu. Majlis ini telah diadakan di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Seremban.
Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan keluarga penderma organ serta tisu yang sudi berkongsi kehidupan kepada insan lain. Pada majlis yang penuh bermakna ini, 17 keluarga penderma telah dijemput dan turut bersama-sama pada majlis ini adalah keluarga penerima organ.
Majlis yang berlangsung sederhana ini telah disempurnakan dengan penuh hormat oleh Yang Berusaha Dr. Azizah binti Abdul Samat, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan bersama-sama Yang Berbahagia Dato’ Dr Zaleha binti Md Noor, Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dan Yang Berusaha Dr. Tengku Alini binti Tengku Lih, Ketua Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan keluarga penderma akan sentiasa dikenang sebagai wira kehidupan. Terima kasih kerana memberi peluang kedua buat insan yang memerlukan.
#PenghargaanPendermaOrgan
#HadiahKehidupan
#UPOHHTJS




